Wednesday, March 16, 2011

Ketika ia memalingkan wajah,
Seluruh sendi hampir punah,
Saat itu hanya ada Engkau Ya Rabb,
Dan jangan lepaskan pautannya dari tanganMu..

Tuesday, November 9, 2010

'Mengayau' ke beberapa destinasi menarik di Sabah

Terdapat beberapa perkara yang kita sering lupa dan tidak sedar. Begitulah satu lagi falsafah ringkas yang tiba-tiba terlintas dalam fikiran saya setelah berpeluang menjengah ke beberapa tempat menarik di Sabah.. Tidak banyak, sikit pun jadilah. Pengalaman yang sedikit itu membuatkan saya tersedar bahawa betapa beruntungnya saya menjadi anak kelahiran Sabah. Saya mengambil kesimpulan, tidak perlu pergi jauh untuk menikmati keindahan alam.. Sabah sudah cukup!

Perancangan utama kami (saya bersama kakak dan dua rakannya; Jay dan Tang)ke Kudat sahaja. Tetapi tidak sangka kami sempat singgah di beberapa tempat lain. Sebelum ke Kudat, kami berkunjung ke Orchid De Villa di Kampung Kawakaan, Inanam. Saya sendiri tidak banyak pengetahuan tentang orkid, malah tidak pernah termimpi untuk menjejakinya. Tapi peluang yang ada saya nikmati sepenuhnya untuk cuba mengenali tumbuhan yang istimewa itu. Begitu banyak jenis orkid yang kami temui. Lucunya, Jay yang meminati bunga itu sendiri baru mendapat tahu yang perisa vanilla berasal dari orkid. Kami tertawa mengenang kejahilan diri.

Menikmati angin dari dua lautan di Simpang Mengayau, Tip of Borneo memang tidak tergambarkan. Bagi mereka yang mencintai lautan saya fikir inilah tempatnya. Perjalanan ke sana memang agak memenatkan dan memualkan. Mual kerana jalan yang tidak rata dan rosak di pertengahan jalan. Dalam keghairahan, saya langsung tidak percaya bagaimana sebuah tempat pelancongan yang indah dan malah telah menjadi tapak warisan UNESCO seperti itu masih lagi ditenggelami oleh krisis pembangunan jalan yang tak habis-habis di sabah- jalan tidak berturap!

Angin Laut China Selatan dan Laut Sulu terus menggamit. Saya dan tiga orang yang lain yang berada di dalam kereta tidak senang duduk kerana sejam sahaja lagi senja akan berlabuh. Kami ingin menikmati 'sunset' itu! Jay memandu kereta dengan laju dan saya kaget beberapa kali. Saya membiarkan perasaan itu dengan hanya mampu berdoa supaya kami selamat sampai dan menunaikan hajat'. Selepas hampir tiga jam perjalanan dari Kota Kinabalu, kami menjejak kaki ke Tanjung Simpang Mengayau yang sering menjadi igauan. Pun begitu, kami sedikit kecewa kerana awan semakin gelap menandakan hujan akan turun. Kami bergambar sepuas hati meski tahu yang kami takkan puas.. Tapi syukur, senja yang dinanti-nanti itu akhirnya menjengah, menguraikan perasaan, emosi dan tekanan kami satu persatu. Sungguh, tiada yang lebih indah selain ciptaan Allah... Dalam kehujanan, kami berlari-lari anak menuju ke kereta. Sinar pelangi di sebelah Timur melambai-lambai mengajak kami kembali. Ya, esok pagi kami bercadang untuk singgah sebentar sebelum pulang ke Kota Kinabalu.

Malamnya, kami menginap di hotel Ria Kudat.. Tidak sabar menanti hari esok. Tapi malangnya pagi-pagi lagi saya mendapat tahu hanya kami bertiga yang akan meneruskan perjalanan. Kakak saya pulang lebih awal kerana ada urusan yang perlu diselesaikan. Sekali lagi, rindu kami terlunas apabila berkesempatan ke sana semula.

Kami meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu apabila hari semakin naik. Di pertengahan jalan kami singgah sebentar di Rumah Panjang Rungus, Malanjak. Saya sempat membeli selempang jahitan tangan berwarna biru untuk saya sendiri.

Sampai di Kota Kinabalu kami tidak terus pulang. Kami bertiga berkunjung ke Akuarium dan Pusat Marin di Universiti Malaysia Sabah untuk melihat hidupan laut. Bateri kamera saya sudah habis apabila sampai di sana. Mujur kamera Jay masih boleh digunakan.

Dahaga menjelajah masih belum puas rupanya. Keesokan harinya, saya bersama kakak dan Jay mengayau' lagi ke Kipandi Butterfly Park di Tambunan. Kali ini kami menjejaki rama-rama, satu lagi hidupan yang saya hampir-hampir lupa keindahannya. Haiwan kecil itu benar-benar membuatkan saya jatuh cinta. Cinta pada alam ciptaan Tuhan yang Maha Kaya.

Perjalanan kali ini memang memberikan kesan yang sangat mendalam kepada saya terutama dalam mensyukuri nikmat Tuhan yang begitu luas. Dan meneruskan hasrat dan impian saya untuk terus mencari dan menjejaki keindahan-Nya selepas ini.

Friday, October 8, 2010

Bayu

Lautku
Tanahku
Cintaku

Di sini aku bernafas
dengan nafasmu
Di sini aku melihat
dengan matamu

melihat puncak gunung
pesisir pantai
lekuk dasar alam
putih kebiruan..